PETIKAN SYAIR

'SaudaraMu yang sebenarnya ialah orang yang berada besertamu dan orang itu mengorbankan dirinya sendiri dalam bahagia, semata-mata untuk kemanfaatan dirimu. Itulah sahabatmu, yang apabila kamu dalam keadaan bimbang, ia sentiasa mengatakan secara terus terang kepadamu serta rela mencurahkan tenaga dan kekuatannya semata-mata untuk berkumpul denganmu'

Tuesday 26 April 2011

Ukhwah itu Indah


Mencari sahabat sesetia Abu Bakar bukanlah mudah, namun akan ada orang yang ditakdirkan menjadi sahabat kita di dunia ini dalam kita tidak sedar akan kemunculannya. Siapakah sahabat terbaik anda?

Menurut sunnah nabi, kita sebagai umat islam digalakkan memilih sahabat yang baik yang mana mampu membawa diri kita mengenal Allah dan Islam secara lebih dekat, dan ada juga hadis mengatakan bahawa seseorang itu berada di atas agama rakannya, maka hendaklah diperhatikan rakan mana yang mahu dipilih itu.

Ya, itu tuntutan dalam islam supaya memilih rakan yang baik. Banyak tuntutan dalam quran dan hadis disamping contoh nabi-nabi terdahulu dalam memilih sahabat ini. Begitu juga dalam kehidupan nabi yang kita cintai, Muhammad, dalam ramai-ramai sahabat, nabi amat menyayangi Abu Bakar sebagai sahabatnya, Hal ini kerana Abu bakar adalah sahabat terawal yang membenarkan kata-kata nabi disamping banyak membantu perjuangan nabi dalam menegakkan agama islam.

Pernah anda mempunyai sahabat yang baik sebegitu? jika tidak pun, mungkin dalam kalangan kita yang kurang menghargai sahabat disekeliling kita yang mempunyai akhlak dan sikap yang baik yang mampu membawa kita mengenal islam itu sendiri.

Sebagai seorang mahasiswa yang berada jauh dengan keluarga, sudah tentu kita banyak menghabiskan waktu bersama rakan-rakan, Apabila baik rakan kita itu, mungkin serba sedikit kita juga akan terpengaruh untuk melakukan kebaikan sepertinya, begitu juga sebaliknya, jika rakan kita itu buruk akhlaknya, mungkin serba serbi kita juga akan mengikuti jejak langkahnya sedikit demi sedikit, sehasta demi sehasta. Tidak percaya? lihat sahaja sahabat yang rapat disekeliling kita.

Jika ada sahabat kita yang rapat, apabila berloya buruk, maka sahabat rapatnya serba serbi akan mengikuti jejak langkahnya, jika sahabat itu kaki masjid, serba serbi sedikit demi sedikit dia akan mengikuti jejak langkah sahabatnya itu. Maka sabda nabi itu amat benar bahawa sahabat yang baik itu umpama penjual minyak wangi yang mana seseorang itu akan membeli daripadanya atau terkena tempias haruman minyak wangi tersebut. Faham maksud kiasan tersebut?

Kata-kata nabi tiada yang palsu mahupun dusta, apabila keluar sahaja perkataan daripada nabi, maka itu benar-benar akan terjadi, apabila seseorang itu bersama sahabat baiknya, walaupun sebelum ini rakannya ini tersimpang dari ajaran agama tetapi apabila 'dia'  bersahabat dengan rakan yang baik tersebut, InsyaAllah, dia juga akan berubah dengan Izin Allah. Perlu diingat, hidayah itu milik mutlak Allah.

Begitu juga dengan sahabat yang buruk akhlaknya nabi lambangkan sebagai seorang yang menjual kayu api sama ada kita membawanya atau terkena bau asapnya. Jika kita lihat situasi orang-orang disekeliling kita, adakah nabi ini berdusta? ya, mana mungkin, apabila kita berkawan dengan orang yang buruk akhlaknya, secara tidak mustahil, kita juga kemungkinan besar akan terkena juga 'serpihan' akhlak buruk tersebut.

Namun, siapalah diri kita untuk menghukum manusia itu, sebagai seorang sahabat yang baik, sudah tentu kita tidak akan meninggalkan sahabat kita walaupun dia sudah jauh 'terbabas' mengenal hakikat islam yang sebenar. Malah, kita juga tidak digalakkan menjauhkan diri dengan sahabat kita itu. Bimbinglah dia hingga mampu membawa sahabat kita itu 'berdiri semula' dan mampu menembus pintu syurga kelak.

Anda akan merasai nikmatnya ukhwah apabila anda berukhwah berlandaskan sunnah nabi. Kemanisan iman dan berukhah itu akan datang tanpa dipaksa sekiranya anda benar-benar jujur dalam persahabatan anda. Jika sahabat anda jatuh ke jurang maksiat seperti 'bercouple', Jangan lupa nasihatinya dengan baik kerana manusia yang terbaik adalah manusia yang berbuat baik dengan orang disekelilingnya.

Apabila anda sudah temui sahabat yang baik, pegang eratlah sahabat anda itu, berjanjilah bersahabat hingga ke syurga, nyatakan kasih sayang anda menurut sunnah dengan mengungkapkan ayat 'uhibbukafillah' untuk lelaki dan uhibbukifillah untuk wanita. Jangan salah gunakan ayat ini untuk dilontarkan kepada yang berlainan jantina dan yang bukan mahram.

Ingatilah sahabat anda dalam doa anda, berusaha perbaiki ukhwah dari hari ke hari, berlapang dada dalam menerima sesuatu perbezaan. Manisnya ukhwah itu tidak dapat dilafazkan melalui kata-kata. Berhadiahlah selalu untuk mengeratkan silaturahim. Paling penting, untuk mengenal sahabat anda, kenallah latar belakangnya dan bermusafir la bersama dia untuk mengenal siapakah sahabat anda itu.

Jadi, mari buktikan pada diri anda mampu menjadi sahabat yang terhebat!



No comments:

Post a Comment