PETIKAN SYAIR

'SaudaraMu yang sebenarnya ialah orang yang berada besertamu dan orang itu mengorbankan dirinya sendiri dalam bahagia, semata-mata untuk kemanfaatan dirimu. Itulah sahabatmu, yang apabila kamu dalam keadaan bimbang, ia sentiasa mengatakan secara terus terang kepadamu serta rela mencurahkan tenaga dan kekuatannya semata-mata untuk berkumpul denganmu'

Tuesday 10 May 2011

SAHABAT DALAM KEIMANAN

Apakah definisi sahabat bagi anda? Sudahkah anda temui sahabat yang anda dambakan dalam kehidupan anda selama ini? wujudkah manusia seperti itu...................?


Ya, saya rasa anda sudahpun mempunyai jawapan kepada persoalan di atas. Sekarang, jawapan anda itu, anda simpan dahulu dan mari kita hayati 'dunia persahabatan' yang sebenar yang telah ditunjukkan nabi-nabi terdahulu. Jika anda mempunyai sahabat, mari kita 'susuri' perjalanan kisah nabi Muhammad dan sahabat baginda yang paling setia dan disayangi, Abu Bakar.

Abu Bakar seorang sahabat yang paling setia dalam mempertahankan nabi Muhammad, malah Abu Bakar juga seorang sahabat yang pertama membenarkan kata-kata nabi Muhammad. Nabi mengaku Utusan Allah tetapi masyarakat disekelilingnya agak sukar menerima kenyataan tersebut tetapi dalam keadaan 'ketidakpercayaan' itu, Abu Bakar datang membenarkan kata-kata nabi.

Cuba bayangkan, jika dalam keadaan tiba-tiba sahaja ada dalam kalangan sahabat anda yang mengatakan terjumpa kotak ajaib tetapi anda tidak mempercayainya sedangkan sahabat anda itu benar-benar terjumpa kotak ajaib tersebut. Bagi yang mempercayai sahabat anda itu akan dikatakan gila dan sebagainya kerana mempertahankan sahabat yang menjumpai kotak ajaib tersebut. 


Anda sudah memahami maksud yang ingin saya utarakan ini? ya, sahabat yang baik tidak akan meninggalkan anda walaupun anda berada dalam keadaan dipulaukan, dihina, dicerca dan dimaki hamun sekalipun. Seorang sahabat yang baik itu bukanlah mudah dicari, mungkin dalam jutaan sahabat yang pernah kita jumpa, hanya seorang sahaja yang benar-benar mahu bersama kita saat kita susah dan senang.

Mungkin dalam jutaan itu belum tentu ada sahabat yang benar-benar ikhlas jiwanya untuk bersahabat dengan kita. Mungkin juga mereka bersahabat dengan kita atas dasar kepentingan, mungkin kerana kuasa, harta, pangkat dan jika bersahabat 'di alam IPT' mereka lebih mementingkan seseorang sahabat itu kerana 'assigmentnya', kerana  'duitnya' kerana 'kuasanya sebagai perwakilan pelajar' dan sebagainya lagi yang membuatkan seseorang itu 'berteligkah' di akhirat kelak.

Sahabat yang baik, tidak akan meninggalkan anda ketika anda ditimpa malang, malah sahabat yang baik itu akan memberikan nasihat dan semangat kepada anda ketika anda melihat diri anda tiada jalan keluar lagi dalam menangani masalah tersebut. Malah lebih syahdunya, sahabat yang baik itu akan memberikan pertolongan kepada anda semampu mungkin tanpa mengharapkan balasan daripada anda kerana baginya dia hanya mengharapkan balasan dari YANG  ESA.

Pernah sahabat bertanya kepada Rasulullah, siapakah sahabat rasulullah yang disayangi, terbaik dan dekat dengan jiwa Rasulullah. Rasulullah memberikan jawapan kepada kesemua sahabat yang pernah bertanya kepada Rasulullah bahawa baginda amat mencintai sahabatnya, Abu Bakar. 

Umar juga pernah berkata: 'Nikmat yang manusia perlu pegang seeratnya selepas mendapat nikmat iman dan islam adalah nikmat dapat sahabat yang baik. Sekiranya kamu dapati kewujudan kasih sayangnya, maka peganglah ia seerat mungkin'

Malah Imam Syafie juga ada mengatakan butir-butir kata hikmah tentang sahabat. Jadi adakah kita sudah 'terjumpa' sahabat yang kita cari itu?



Berdoalah kepada Allah, tuhan yang maha pengasih dan penyayang kepada hamba-Nya. Mintalah dikurniakan sahabat yang sejati sebagai penguat diri untuk mencintai yang Maha Berkuasa. Renungkanlah dalam kehidupan anda, siapa yang boleh dijadikan sahabat sejati. Pilihlah sahabat yang menjadikan dunianya sebagai hamparan untuk bertemu Yang Esa, dari tutur katanya terselit hikmah yang bermanfaat, gaya dan perbuatannya membuatkan diri mengingati mati.

Agak sukar? ya..semestinya tetapi jangan lupa, Allah akan mengakbukan doa hamba-hambanya selagi hambanya berterusan meminta kepada-Nya kerana Allah itu Maha penyayang. Mintalah dalam sujud supaya dikurniakan sahabat sejati. 

Saya juga percaya, ramai dalam kalangan anda yang sudah menemui sahabat sejati itu. Ya, seronok kan? apa tidaknya, hari-hari kita dicerahi dengan 'hadiah' seorang sahabat sejati daripada Allah. Saat kita ketawa, dia turut ketawa dan senang dengan kita, saat kita meluahkan rahsia, dia mendengarnya dengan baik malah memberikan jalan penyelesaiannya, saat berjauhan, dia akan cuba menghubungi kita dengan apa cara sekalipun. Saat kita mengalamI dugaan yang hebat, dia tenang memberikan semangat malah dia amat berduka dan terasa pedihnya jika anda berada dalam kesusahan.

Lebih menarik lagi, apabila anda berjauhan dengannya beribu batu, dia akan mencari waktu untuk bertemu dengan anda, baginnya apa la sangat duit jika dibandingkan dengan sahabat yang dicintai itu. Jika anda cuba menyembunyikan masalah, dia yang akan memulakan bertanya masalah kepada anda. Malah ketika anda jatuh ke lembah maksiat sekalipun, dia tidak akan meninggalkan anda walau seinci, malah akan berusaha mencari jalan untuk mengeluarkan anda daripada lembah kehinaan itu.

Apabila tiba hari lahir anda, dia tidak akan lepas dari menyambutnya, malah ketika 'kredit' dia masih berbaki bilangan sen sekalipun, dia tidak akan lupa untuk mengutus SMS kepada anda. Malah baginya anda adalah 'nyawanya'. Ibu dan Ayah anda ibarat ibu dan ayahnya juga. Malah lebih tinggi daripada itu, dia bercita-cita ingin ke syurga bersama anda. Subhanallah!

Sahabat itu bukan hanya didefinisikan tetapi perlu dipraktikalkan. Sekiranya anda tidak menjumpai sahabat yang dicirikan itu, maka berusahalah daripada sekarang untuk menjadi sahabat yang baik kepada orang lain. Kita perlu banyak memberi daripada menerima. Apabila kita banyak memberi, Allah akan kurniakan sesuatu yang tidak kita sangka selama ini. Mungkin dalam pemberian kita kepada orang lain, Allah kurniakan orang yang lebih banyak memberi daripada anda kepada Anda agar menjadi sahabat anda hingga ke syurga. 

Siapa tahu?


Anda perlu percaya kepada Allah. Memilih sahabat yang baik dan soleh mahupun solehah itu adalah amanah daripada Allah yang telah disampaikan nabi-nabi terdahulu kepada umatnya untuk mereka sampaikan kepada umatnya. Amanah ini bukanlah disampaikan manusia seperti saya ataupun sahabat yang lain tetapi ini daripada amanah yang telah disampaikan nabi.

'Seseorang itu berada di atas agamanya, maka dengan itu hendaklah dia memerhati siapa yang mahu dijadikan sahabatnya itu'.

Seorang sahabat yang baik itu tidak akan lupa untuk mengingati anda dalam tahajudnya mahupun ketika dalam doa hariannya.

Pernah seorang sahabat bergurau kepada seseorang apabila selesai sahaja solat fardunya dan dia berdoa..'mi, doakan ana dapat bidadari syurga ye'..selepas itu sahabatnya juga turut bergurau..'enta pun sama,jangan lupa doakan ana jadi dapat isteri yang lagi cantik daripada isteri enta..'

Indahnya persahabatan, Hanya mereka yang pernah melaluinya sahaja dapat mengungkapkan. Malah hebatnya dikurniakan sahabat sejati akan mampu membangkitkan semangat dalam diri untuk terus berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Hayati dialog ini...

'enta jangan tinggalkan ana ye lagi mi'...
'ana bersahabat dengan enta kerana Allah..'
'enta sayang ana..'?
'semestinya hingga ke syurga..'
'kalau ana dicampakkan ke dalam neraka macam mana'?
'ana sanggup terjun ke dalam neraka itu bagi sambut enta, biar kita akhirnya memimpin tangan ke syurga'
'mi, Uhibbukafillah'..
'uhibbukafilah aidon..'

Kesimpulannya, jadikanlah sahabat anda itu sebagai penguat diri untuk mencintai YANG ESA.. terapkan dalam kehidupan anda bukan sekadar teori sahaja.. Mulakan diri anda sebagai orang yang menjadi 'sahabat baik itu'..

Biarlah anda banyak memberi daripada menerima..

No comments:

Post a Comment